RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Ahad, 6 November 2011

Lata Tembakah (Terengganu)



HUTAN LIPUR LATA TEMBAKAH
(TERENGGANU)

BESUT, TERENGGANU: LATA TEMBAKAH yang terletak dalam Hutan Simpan Pelagat, daerah Besut berhampiran dengan Kampung Jabi iaitu kira-kira 24 kilometer dari bandar Jerteh di Terengganu, manakala jaraknya dari bandar Kuala Terengganu kira-kira 130 kilometer boleh dilalui oleh pelbagai jenis kenderaan. Lata Tembakah dikenali juga sebagai Hutan Lipur dan Air Terjun Lata Tembakah telah dibuka pada tahun 1987 dengan keluasan kawasan sehingga 300 hektar dan sememangnya di kawasan lata ini kaya dengan suasana flora dan faunanya yang memikat pandangan. Hutan lipur ini dibuka kepada pengunjung untuk sebarang aktiviti seperti perkhemahan, mandi-manda, berehat dan berkelah bersama keluarga bermula jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari.

Bukan sahaja di kawasan hutan lipurnya yang menarik dan menggamit pengunjung, tetapi kebanyakan pengunjung yang datang pada setiap kali cuti hujung minggu, cuti umum dan cuti persekolahan adalah semata-mata ingin menikmati kecantikan air terjunnya yang mempunyai tujuh tingkat setinggi 50 meter tentunya mempesona dan mendamaikan, selain ditemani sungai berjeram dan kolam-kolam kecil yang sesuai untuk aktiviti mandi-manda, berendam dan menyelam.

Di sepanjang sungai berjeram melalui air terjun tersebut, kebanyakan batu-batannya agak kecil, mudah tergolek dan pengunjung yang ingin melangkah di atasnya perlu sentiasa berhati-hati kerana batu-batu tersebut agak licin. Keadaan suhu airnya agak sejuk dan amat sesuai jika mandi-manda dan berenang di air terjun tingkat dua hingga empat kerana kawasan ini dianggap selamat berbanding dengan air terjun di tingkat lima hingga tujuh yang mana pengunjung perlu mencari arah laluan sendiri untuk menjejakkan kaki di air terjun tersebut.

Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di Hutan Lipur Lata Tembakah umpamanya parkir kenderaan yang agak luas, gerai makanan, pondok pengawal (tempat bertanya), rumah penginapan dan asrama, jambatan gantung, trek pejalan kaki, pondok rehat, kerusi rehat, dapur BBQ, bilik persalinan, tandas awam serta tong sampah yang disediakan di sepanjang laluan pejalan kaki.

Sementara bagi pengunjung dan pengembara yang datang dari tempat yang jauh turut disediakan di Lata Tembakah ini rangkaian rumah penginapan (chalet) dan asrama meliputi kategori bayaran asrama 14 katil berjumlah RM200, chalet VIP (RM150), chalet dua bilik (RM100), chalet satu bilik (RM50) serta tapak perkhemahan yang dikenakan setiap seorang di sepanjang malam sebanyak RM2.

Landskap hutan serta Air Terjun Lata Tembakah ini memang menarik bukan sahaja kolam mandi yang terbina dari aliran air terjun tersebut agak begitu unik, namun airnya yang mengalir ke kolam berkenaan tidaklah dianggap dalam jika aktiviti mandi-manda dan berenang dilakukan di musim kemarau. Tetapi paras air akan meningkat dari keadaan biasa apabila berlakunya hujan lebat terutamanya di musim tengkujuh. Cuma perlukan perhatian daripada ibu bapa jika terdapat kanak-kanak yang ingin bermain di kawasan batu yang licin itu. Walau bagaimanapun, siren amaran akan berbunyi jika berlaku hujan lebat, angin serta aliran air terjun yang terlalu laju dari keadaan biasa untuk mengingatkan dan memberi amaran supaya pengunjung sentiasa berhati-hati dari kemungkinan yang bakal berlaku untuk mengelakkan sebarang kejadian buruk.

Justeru, dalam hal ini jika anda berada di Hutan Lipur Lata Tembakah terutamanya ketika berenang di kolam mandi mahupun sedang bersantai di atas batu-batu air terjun tersebut, anda tidak akan menyedari masa telah berlalu dengan pantas untuk menunjukkan betapa seronok dan asyiknya berada di hutan lipur berkenaan. Dengan demikian, jika anda mempunyai kesempatan masa cuti, silalah berkunjung sambil melakukan aktiviti bersama keluarga di Hutan Lipur Lata Tembakah yang terletak di Negeri Terengganu Darul Iman kerana hutan lipur ini menjanjikan ketenangan bagi anda yang ingin mengharapkan kedamaiannya.


Papan tanda ke Hutan Lipur Lata Tembakah.


Arah laluan ke Hutan Lipur Lata Tembakah.


Hutan Lipur Lata Tembakah yang mendamaikan.




Inilah wajah sebenar Air Terjun Lata Tembakah di tingkat dua.




Kolam Air Terjun Lata Tembakah.

Sungai berjeram di Lata Tembakah.


Arah masuk ke Air Terjun Lata Tembakah.


Parkir kenderaan yang agak luas disediakan untuk pengunjung.

Pondok Pengawal (Tempat Bertanya).


Rumah penginapan dan kadar bayaran sewaan.

Gerai makanan dan minuman.


Jambatan gantung yang menghubungkan Air Terjun Lata Tembakah.

Trek pejalan kaki yang sempurna.

Pondok rehat.

Kerusi rehat dibina di trek pejalan kaki.

Tong sampah tidak dilupakan di trek pejalan kaki.

Tandas awam juga disediakan.


PERSEKITARAN

Walaupun Hutan Lipur Lata Tembakah memang popular bukan sahaja di kalangan penduduk tempatan termasuk dari luar Terengganu, namun persekitaran lata ini ada juga kelemahan dan kekurangannya. Tinjauan penulis mendapati, terdapat papan tanda yang terlindung di sebalik ranting dan daun kayu, sementara terdapat di antara papan tanda itu didapati perkataannya telah tertanggal selain telah uzur dimamah usia dan juga telah kopak dan pecah.

Masalah tandas awam juga sesuatu yang perlu diberikan perhatian oleh pihak pengurusan Lata Tembakah. Ini kerana, jika dilihat dari luar didapati tandas awam berkenaan sempurna. Namun, apabila dilihat dari jarak dekat dan apabila masuk ke dalam, bukan sahaja tandas awam itu tidak mempunyai pintu. Tetapi terdapat juga pam air yang tidak berfungsi apabila paip air berkenaan tidak bersambung dengan pam air terbabit. Selain keadaan sink yang tidak mempunyai paip dan ketiadaan bekalan air paip ke tandas tersebut menyebabkan tandas berkenaan bukan lagi dianggap sebagai tandas tetapi 'rumah hantu'.

Dengan itu, adalah wajar pihak pengurusan Lata Tembakah membaikpulih dengan segera tandas awam serta tempat persalinan sebelum ada di kalangan pengunjung yang menjadikan air terjun sebagai tempat 'melepaskan' kencing dan najis yang tentunya mencemari aliran air sebagai penyebab merebaknya kuman salmonella dan e-coli.


Papan tanda yang terlindung oleh daun dan ranting kayu.

Papan tanda yang uzur dimamah usia, perkataan yang tertera juga tertanggal.

Papan tanda di tingkat dua Air Terjun Lata Tembakah yang pecah.

Paip air ini tidak bersambung dengan pam air.

Keadaan sink masih sempurna, tetapi masalahnya ketiadaan bekalan air.



AKTIVITI KAMI

Pada 15.10.2011, kami telah berkunjung ke Hutan Lipur Lata Tembakah, Besut, Terengganu semata-mata ingin melihat keindahan air terjunnya yang mempunyai tujuh tingkat. Sememangnya, keadaan hutan lipur ini amat menarik dan mendamaikan.

Ketika kami sampai di tempat parkir kenderaan pada tarikh tersebut, didapati keadaan cuaca agak redup sebagai tanda hujan akan turun. Memang ternyata, seketika kemudian kami mendengar suara guruh dari langit sebagai petanda hujan merenjiskan air ke bumi Lata Tembakah itu. Namun, disebabkan kami baru tiba, kami meneruskan juga hasrat itu. Setelah berjalan selama lebih kurang setengah jam dengan melalui jambatan gantung, kami kemudiannya tiba di sebuah pondok rehat di tingkat dua Air Terjun Lata Tembakah.

Setelah kami melebarkan beg dan bekalan makanan dari rumah lalu diletakkan di atas kuda-kuda yang disediakan, dengan tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Walaupun hujan turun dengan lebat, penulis tidak ingin membuang masa dan tanpa menghiraukan juadah yang kami bawa, penulis mengambil kesempatan ketika hujan itu untuk turun ke dalam kolam di bawah Air Terjun Lata Tembakah. Memang benar, kolam Air Terjun Lata Tembakah ini amat luas dan airnya tidaklah dalam sangat, bukan sahaja orang-orang dewasa boleh mandi dan berenang, kanak-kanak pun boleh bermain air di situ kecuali di bahagian tebing kolam itu yang didapati agak dalam.

Penulis bukan sahaja mandi dan bermain air, tetapi sempat juga bergambar sambil berendam dan berjemur di atas batu air terjun tersebut. Setelah agak lama berada di dalam air bersama keluarga, kami naik seketika untuk menjamu selera. Dalam masa sedang menikmati hidangan itu, baju dan pakaian yang kami pakai didapati kering dengan sendirinya. Selepas selesai kami menikmati hidangan, kami sambung balik aktiviti yang tertangguh ketika itu.

Setelah hari didapati agak semakin redup, kami kemudiannya bangkit dari kolam air terjun di tingkat dua itu untuk bersiap-siap pulang. Ketika sampai di jambatan gantung, kami bergambar kenangan sebelum mengakhiri kunjungan kami di Hutan Lipur Lata Tembakah itu.


Kami berehat sekejap sementara hujan sedikit reda.

Penulis sedang berendam dalam kolam Air Terjun Lata Tembakah tingkat dua.

Penulis sedang bersantai seperti duyung di atas batu air terjun.

Penulis bersama keluarga sedang bermain air.


Seronok juga bermain di kolam air terjun tingkat dua.

Kolam air terjun tingkat dua yang cetek dan sesuai untuk sebarang aktiviti.




Ketika melangkah pulang, kami bergambar di jambatan gantung.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan